Bismillah ir-Rahman ir-Rahim
SUPAYA MENDAPAT HAJI MABRUR
Bersama-sama
jemaah haji seluruh dunia dengan tujuan yang sama, menuju tempat yang sama
untuk menjadi tetamu Allah Azza wa Jalla. Kita semua adalah sama di sisiNya
melainkan yang bertakwa. Ibadah dan praktis amalan yang pernah dilakukan oleh
nabiIbrahim AS. Allah SWT memerintahkan nabi Ibrahim AS untuk
menyeru manusia supaya melaksanakan ibadah haji ini, dan kita pada hari ini
menyambutnya.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 27 bermaksud:
Dan serukanlah umat
manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah
Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang
datangnya dari berbagai-berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
Bagi mereka yang
mendapat haji yang mabrur pula ganjarannya cukup hebat. Diriwayatkan bahawa
nabi SAW bersabda:
Dan haji yang mabrur,
tiadalah balasan baginya melainkan syurga. Riwayat al-Bukhari)
Mabrur berasal
daripada perkata al-birr iaitu kebaikan, kebajikan dan akhlak
yang baik. Diriwayatkan daripada Jabir bahawa nabi SAW ditanya:
Apakah kebajikan haji
itu ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab: Memberi makan dan menyebarkan salam.
(Riwayat Imam Ahmad)
Kita semua ingin mendapat haji mabrur dalam kesempatan dan
peluang yang cukup berharga ini. Memang sudah sekian banyak kursus haji yang
diikuti, ditambah pula dengan kursus haji perdana di peringkat negeri sebelum
bertolak ke tanah suci, namun bimbingan berterusan tetap diperlukan oleh setiap
jemaah haji. Kerana tempat yang mereka akan tuju ini terlalu asing buat mereka,
faktor cuaca yang tidak sama dengan negara kita, cabaran usia yang mungkin
sudah tidak secergas ketika muda, jumlah petugas dan pegawai Tabung Haji yang
terhad dan faktor jarak hotel dengan Masjid al-Haram.
Semua itu adalah
cabaran yang perlu dilalui dengan sabar dan tabah. Jangan sampai ia mengganggu
daripada mendapat haji yang mabrur.
Dengan melihat kepada
cabaran-cabaran tadi, untuk mencapai haji yang mabrur insyaAllah, maka beberapa
perkara asas perlu diambil perhatian, antaranya:
1.
Niat ikhlas dan menepati syari’at
a) Perkara
utama yang perlu dipastikan ialah niat yang ikhlas. Menunaikan haji bukan untuk
dipanggil tuan haji apabila pulang kelak. Terdapat juga yang begitu cepat menghantar
barang melalui perkhidmatan pos yang disediakan sebagai ole-ole dari tanah
suci, tetapi belum lagi wukuf di Arafah, sudah mengisytiharkan dirinya sebagai
Haji Sifulan untuk dituliskan di luar kotak kiriman. Perlu ditegaskan,
menunaikan haji bukan untuk dipanggil tuan haji. Ikhlaskan niat dalam ibadah
kita sebagaimana yang Allah Azza wa Jalla perintahkan dalam surah al-Baiyinah
ayat 5 bermaksud:
Pada hal mereka tidak diperintahkan
melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi
tetap teguh di atas tauhid.
b) Ibadah
haji ini juga mesti dilakukan bertepatan dengan syari’at yang telah diajarkan
oleh nabi SAW, sabdanya:
Hendaklah kamu semua mengambil (daripadaku) cara melaksanakan
manasik (ibadah haji) kamu, sesungguhnya aku tidak tahu boleh jadi aku sudah
tidak mengerjakan haji lagi selepas ini. (Riwayat Muslim)
2.
Persiapan haji
a) Setiap
bakal haji mesti melakukan persiapan yang sewajarnya. Persiapan ini yang
mungkin memberi kesan kepada ibadah hajinya nanti. Hendaklah bertaubat sebelum
berangkat, membayar hutang dengan Allah seperti puasa yang ditinggalkan sebelum
ini, memperbetulkan hubungannya dengan Allah Azza wa Jalla dan qadha’ segala
ibadah yang luput sebelumnya. Kerana hak Allah lebih utama daripada hak
manusia.
b) Selain
itu, selesaikan segala urusan yang berkaitan dengan manusia, bermula dengan
ahli keluarganya dengan memastikan nafkah yang wajib untuk mereka sepanjang
peninggalannya ke tanah suci. Ia juga meliputi wasiat yang perlu ditulis, dan
juga penggantinya dalam urusan rumahtangga. Di samping itu, tugas-tugas wajib
dengan masyarakat, tempat kerja atau sebarang organisasi sosial.
c) Bekalan
kewangannya juga mesti dipastikan baik dan halal kerana perjalanannya ke tanah
suci adalah perjalanan ibadah. Maka setiap langkah dan perbuatannya termasuk
bekalan yang dibawa mestilah halal, kerana nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah itu
baik, dan Dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. ( Riwayat
Muslim).
3.
Menghayati hakikat haji dan tujuannya
a)
Hakikat ibadah haji dan tujuannya perlu
dihayati sepanjang perlaksanaan ibadah haji. Kerana terdapat pelbagai hikmah,
pengajaran serta yang tersirat dalam setiap manasik yang dikerjakan. Sejarah
pembinaan Ka’bah oleh nabi Ibrahim AS dan anaknya nabi Ismail
AS. Saiyidah Hajar berlari-lari mencari air di antara Sofa dan Marwah,
sejarah merejam Syaitan di Mina dan sebagainya. Belum ditambah dengan Sirah
Nabawiyah SAW.
b)
Selain itu, objektif taqwa juga perlu
dicapai dalam ibadah haji ini, pengukuhan akidah, tarbiah dengan akhlak yang
baik lagi terpuji, dan juga membesarkan syi’ar Allah SWT. FirmanNya dalam surah
al-Hajj ayat 32 bermaksud:
c)
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa
yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa)
kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa dalam
hati (orang mukmin).
4.
Jauhkan maksiat dan kesalahan
a)
Haji mabrur tidak akan dicapai jika kita
tidak menjauhkan maksiat dan tidak mengelakkan sebarang kesalahan dan
kesilapan. Kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 197
bermaksud:
(Masa
untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang maklum. Oleh yang
demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah
haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat,
dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. dan apa jua
kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah.
b)
Jika diperhatikan, kita dapati terdapat
jemaah haji yang tidak menjaga perkara ini, mungkin kerana kurangnya takut
kepada Allah Azza wa Jalla atau mungkin kerana kekurangan ilmu pengetahuan
tentang hal ini. Maka wajib bagi kita mempunyai ilmu yang secukupnya tentang
sesuatu ibadah sebelum kita mengerjakannya.
Kesimpulannya, perlu bersungguh dalam
melaksanakan ibadah haji sebagaimana bersungguh-sungguh memenuhkan simpanan.
Ini penting supaya mendapat haji yang mabrur.
Alhamdulillah.
Hidayah
1 comment:
Dapatkan buku Ke Arah Haji Yang Mabrur dari http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=527:ke-arah-haji-mabrur&catid=45:buku&Itemid=339
Buku motivasi yg ulung belum ada yg seumpamanya.
Post a Comment